Langkah pertama Cassini menuju ke pengakhiran!

Berita Misi Angkasa

Setiap yang bermula pasti akan berakhir. Ungkapan yang biasa kita dengar ini akan berlaku kepada prob angkasa Cassini yang kini sudah mula memasuki fasa-fasa akhir misi eksplorasi dan kajiannya terhadap  planet Zuhal.

Setelah hampir 13 tahun ia mengendap dan mengumpul data, Cassini akan dihempaskan secara terkawal ke dalam atmosfera Zuhal pada 15 Sep 2017 nanti. Namun begitu, sebelum ia berlaku demikian, jurumudinya di Jet Propulsion Laboratory di Pasadena terpaksa mengubah laluan orbitnya sedikit demi sedikit menghampiri Zuhal.  Perubahan laluan ini akan membawa prob ini melintasi satah gelang dan masuk ke dalam kawasan gelang yang penuh dengan habuk, debu dan ais ini!

Lintasan ini dipanggil sebagai Ring Crossing.

Sebanyak 22 buah lintasan dijadualkan dan baru-baru ini lintasan yang pertama telah dibuat pada 26 April 2017. Para saintis dan jurutera misi ini tidak pasti samada Cassini akan selamat setelah ia masuk ke dalam kawasan gelang Zuhal, kerana walaupun partikel-partikel di laluanya itu sebesar habuk asap, kelajuannya yang mencecah 124,000 km/jam boleh menghasilkan kerosakan yang teruk tehadap peralatan yang ada jika ada yang berlanggar dengannnya.

Kelajuan 124,000 sejam ini sama dengan kita menaiki kereta ulang-alik di antara Johor Bahru dan Padang Besar di Perlis, sebanyak 147 KALI dalam masa  2.5 MINIT!

Laju tu!!

Isyarat dari Cassini telah terputus pada jam 5 pm, 26 April 2017 (waktu Malaysia) dan berjaya dihubungkan kembali pada 2 pm, 27 April 2017 (waktu Malaysia). Data-data baru telah dapat dimuat turun 5 minit kemudian! Sukses! Cassini telah selamat dalam lintasan pertamanya ini.

Dan gambar-gambar yang dirakamnya sungguh menakjubkan!

Foto kredit NASA, JPL-Caltech, Space Science Institute

Foto di atas merupakan pandangan dari prob Cassini beberapa jam sebelum melintasi Zuhal pada jarak terdekat. Kita boleh lihat dengan jelas awan berbentuk heksagon yang sungguh unik di kawasan kutub utaranya. Gelang-gelang Zuhal juga kelihatan amat jelas, dengan gelang B (Ring B) yang kelihatan lebih cerah, dipisahkan dengan kawasan ‘kosong’ yang dikenali sebagai Cassini Division dan di bahagian luar ialah gelang A.

Gambar ini masih lagi dalam format RAW dan belum betul-betul diproses dan dikalibrasi.

Jika kita perhatikan di sisi kanan gambar ini, ada satu titik hitam yang kelihatan hampir terkeluar daripada framing kamera ini. Itu merupakan sebuah lagi puting beliung yang berada tepat di atas kutub utara Zuhal.

Kredit NASA/JPL-Caltech/Space Science Institute

Puting beliung ini sebenarnya bersaiz 2000 km. Panjang ini boleh memuatkan keseluruhan Malaysia dari Semenanjung ke Sabah di dalamnya! Saya sudah masukkan peta Malaysia ke dalam ribut ini sebagai gambaran (bawah)

Peta Malaysia dimasukkan sebagai perbandingan.

Seperkara yang menarik lagi mengenai ribut ini ialah ia berwarna biru!

Komposit warna RGB daripada foto yang dirakam pada 13 Feb 2017. (NASA/JPL-Caltech/SSI/Jason Major). Sumber.

Menurut Phil Plait, warna biru ini adalah kesan serakan cahaya matahari yang serupa dengan apa yang kita lihat di langit waktu siang kita di Bumi.

Warna biru vorteks ribut ini lebih jelas kelihatan menerusi foto yang diproses oleh seorang lagi ahli astronomer dari Kanada, Sophia Nasr (foto atas). Kita juga boleh lihat banyak lagi tompokan-tompokan kecil disekitarnya, yang mungkin juga sedang berlaku ribut taufan lain yang berskala lebih kecil.

Siri lintasan Ring Crossing ini telah membolehkan kita melihat Zuhal pada jarak yang paling dekat yang dapat dilihat dalam sejarah tamadun manusia. Kiraan lintasan pertama tempoh hari sebenarnya telah membawa prob ini hanya 3000km sahaja di atas lapisan awan teratas planet Zuhal. Perlu diingat, saiz diameter Zuhal ini sendiri ialah 120,536 km!

Ketika artikel ini ditulis, masih ada data-data baru yang sedang dimuat turun daripada Cassini. Kita tunggu dan lihat apa lagi pandangan menarik yang akan dapat diperolehi nanti!

0 0 votes
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments