Siri lintasan/lompatan unik 3 planet, Marikh, Musytari dan Zuhal

Fenomena Highlights Himpunan Samawi

Bulan Mac dan April ini, kita akan berpeluang menyaksikan himpunan 3 buah planet utama dan terang di langit Subuh, serta peluang untuk merakam Pluto buat kali pertama (bagi anda yang belum pernah merakamnya).

3 planet yang dimaksudkan ialah Marikh, Musytari dan Zuhal. Ketiga-tiga planet ini sudah mula kelihatan dengan mudah pada waktu menjelang Subuh di langit sebelah timur. Paling rendah di ufuk ialah Zuhal, Musytari berada tinggi sedikit manakala Marikh paling tinggi.

Muystari paling terang dan mudah untuk dikenal. Marikh paling pudar tetapi warna kemerahannya membolehkan kita camnya dengan agak senang. Zuhal walaupun sedikit terang berbanding Marikh, tetapi disebabkan kedudukannya rendah di ufuk, ia akan kelihatan seperti ‘bintang biasa’ bagi anda yang belum pernah melihatnya dengan mata kasar..mudah terkeliru…

Jadi apakah yang bakal berlaku sepanjang bulan Mac dan April ini? Beberapa siri lintasan planetari atau conjunction akan berlaku.

Watak utama di sini ialah planet Musytari. Disebabkan planet ini paling terang dan mudah dilihat, kita jadikan ia sebagai panduan untuk mencari Marikh dan Zuhal, serta perubahan posisi yang akan berlaku sepanjang bulan nanti.

5 Mac 2020

Zuhal, Musytari dan Marikh akan membentuk satu garisan lurus merentasi 16 darjah di langit… dalam erti kata yang mudah, lebih kurang sebesar tapak tangan yang terbuka luas, apabila kita unjurkan lengan kita lurus ke langit (lihat rajah bawah).

Image result for calculate degrees using hand

Marikh akan berada arah sebelah atas dari Musytari dan Zuhal di bawah Musytari.

Jika anda menggunakan aplikasi mobil, selalunya apps ini akan turut menandakan Pluto di antara Zuhal dan Musytari. Memang betul Pluto berada di situ, tetapi planet ini TIDAK BOLEH NAMPAK DENGAN MATA KASAR. Oleh itu jangan terkeliru dan cuba-cuba nak ambik gambar Pluto dalam phone tu!

Selepas dari tarikh ini, perhatikan kedudukan planet Marikh. Planet ini akan kelihatan semakin menghampiri planet Musytari. Jaraknya semakin dekat dari hari ke hari.

11 Mac 2020

Pada pagi ini, Marikh sudah berada hanya 5 darjah daripada Musytari. Jika anda menggunakan binokular, anda boleh memuatkan kedua-dua planet Marikh dan Musytari di dalam satu medan pandangan secara serentak.

Jarak lengkung 5 darjah di antara Musytari dan Marikh.

15 Mac 2020

Marikh berada hanya 3 darjah sahaja daripada Musytari. Lebih kurang 2 jari (lihat rajah bawah).

18 Mac 2020

Bulan sabit tua akan berada berhampiran dengan Marikh dan Musytari. Jarak di antara Muystari dan Marikh ialah 1.5 darjah sahaja. Jika anda menggunakan teleskop berkuasa rendah, anda boleh memuatkan kedua-dua planet ini serentak dalam satu pemandangan.

20 & 21 Mac 2020

Pada kedua-dua tarikh ini, Marikh akan berada pada titik paling hampir dengan Musytari. Jarak lengkung kedua-dua planet ini ialah 45 arc minit sahaja, iaitu kurang dari 1 darjah!

Rajah di bawah membandingkan jarak kedua-dua planet ini dengan saiz Bulan purnama. Anda boleh bayangkan sendiri betapa dekatnya Musytari dan Marikh pada saat ini.

Inilah kemuncak lintasan Marikh dan Musytari. Kalau boleh , usahalah melihat planet-planet ini menerusi teleskop. Anda akan dapat lihat dengan jelas perbezaan rupa bentuk kedua-dua planet ini. Menariknya ialah walaupun Marikh nampak kecil, ia sebenarnya lebih dekat dengan Bumi berbanding Musytari!

Lagi fakta yang menarik ialah cahaya dari Marikh itu ialah cahayanya 13 minit dahulu, manakala cahaya dari Musytari ialah 46 minit dahulu!

23 Mac 2020

Pada hari ini, Marikh akan melintas amat hampir dengan Pluto! Malangnya planet kerdil Pluto ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar, binokular mahupun teleskop kecil. Magnitud kecerahannya ialah 14, amat pudar dan kelam. Untuk melihatnya secara visual, anda perlu menggunakan teleskop yang aperturnya besar iaitu 10 inci ke atas dan juga kena lihat dari kawasan gelap.

Kedudukan Pluto yang hampir dengan Marikh. Medan pandangan kamera DSLR yang menggunakan lens 400mm

Namun, berdasarkan pengalaman saya sebelum ini, Pluto boleh dirakam dengan ‘mudah’ menggunakan kamera DSLR serta lens yang agak panjang, sekitar 400mm ke atas. Selain itu waktu dedahannya kena panjang, iaitu 30 saat ke atas.

Jarak lengkung Marikh dan Pluto ketika ini ialah 12 arc minit sahaja, iaitu lebih kurang 1/4 darjah!!

Sekali lagi kita cuba renung jauhnya Pluto itu, sehinggakan cahayanya perlu mengambil masa 4.7 jam untuk sampai ke Bumi (berbanding Marikh, 13 minit!)

Nak senang faham, jika kita ada kawan di Pluto dan kita send message whatsapp kepada dia, mesej itu terpaksa mengambil masa 4.7 jam untuk sampai ke sana! Kalau kita nak tunggu kawan kita tu reply, kita kena tunggu 4.7 jam lagi!

tu diaaa!!

29-31 Mac 2020

Pada tarikh-tarikh ini, Marikh akan berada kurang 1 darjah daripada sebuah gugusan bintang bernama M75. Gugusan ini boleh dilihat menggunakan binokular dari kawasan langit yang gelap, dan lebih bagus kalau guna teleskop.

Marikh dan gugusan bintang M75 jika dilihat menerusi teleskop.

1 April 2020

Marikh akan melintasi Zuhal, dan berada pada titik paling hampir dengan planet bergelang itu, iaitu dengan jarak lengkung 54 arc minit, atau kurang sedikit daripada 1 darjah.

Zuhal dan Marikh jika dilihat menerusi sebuah teleskop berkuasa rendah.

Di dalam kes ini, Zuhal berada lagi jauh daripada Musytari. Cahaya Zuhal yang kita lihat tu sebenarnya cahayanya 85 minit dahulu! Marikh pula 12 minit dahulu je!


Selepas daripada tarikh-tarikh di atas, Marikh akan mula menjarakkan diri daripada Zuhal dan Musytari. Siri lintasan planetari yang unik ini pun berakhir.

Namun, ‘pengembaran’ planet Marikh di langit kita ini belum tamat lagi. Planet merah ini akan mula menghampiri sedikit demi sedikit ke arah Bumi, menuju ke fenomena yang ditunggu-tunggu oleh peminat astronomi dunia, istiqbal planet Marikh, yang akan berlaku pada 14 Oktober 2020 nanti!

Kita tunggu yang tu pulak!

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments