Debu rupanya yang mengelamkan Betelgeuse

Berita Penemuan Terkini

Masih ingatkan awal tahun 2020 yang lalu, kecoh semua orang dengan bintang Betelgeuse yang tiba-tiba kelihatan semakin kelam.

Betelgeuse merupakan antara bintang yang tercerah di dalam buruj Orion, yang menandakan bahu kanan bagi buruj yang menggambarkan seorang pemburu. Keunikan bintang ini selain daripada kecerahannya ialah warnanya yang jelas kemerah-merahan, berbanding dengan bintang-bintang lain di dalam buruj ini.

Buruj Orion dan bintang Betelgeuse (atas kanan). Foto @shahgazer

Warna merah selalunya menunjukkan bintang ini sudah tua dan berada di penghujung hayatnya. Maka, apabila Betelgeuse ini tiba-tiba pudar, ramai menyangkakan ia akan meletup dan menjadi supernova!

Maklumlah, manusia yang hidup sekarang belum pernah dapat menyaksikan sebuah bintang meletup di dalam galaksi Bima Sakti sejak kurun ke-17 yang lalu (Kepler’s Supernova).

Bulan berganti bulan, dan akhirnya menjelang April 2020, Betelgeuse kembali cerah seperti magnitud asalnya. Namun, para saintis masih belum dapat tentukan asbab mengapa bintang ini menjadi kelam.. hinggalah kini.

Menerusi kertas kajian  “A dusty veil shading Betelgeuse during its Great Dimming” (https://doi.org/10.1038/s41586-021-03546-8) yang akan diterbitkan di Nature, pasukan penyelidik dari Observatoire de Paris, France, dan KU Leuven, Belgium, telah membentangkan hasil kajian mereka dan menyimpulkan fenomena yang berlaku ini adalah disebabkan satu lapisan debu yang besar telah menyelubungi sebahagian besar permukaan bintang Betelgeuse ini.

Permukaan Betelgeuse mengalami perubahan yang drastik dari semasa ke semasa. Kepulan gas yang besar bergerak, mengecut dan mengembang di dalam bintang ini. Menurut kajian tersebut, fenomena yang diberi gelaran The Great Dimming ini berlaku apabila Betelgeuse menghasilkan satu gelembung gas yang besar dan ia mula bergerak keluar dari bahagian dalam bintang ini.

Sebahagian daripada gelembung gas ini kemudian akan menyejuk, suhunya jatuh mendadak dan cukup sejuk untuk menukarkan gas ini meluwap menjadi debu.

Kuantiti debu-debu ini sangat banyak hingga ia mampu menghalang sebahagian cahaya bintang Betelgeuse daripada memancar keluar ke angkasa. Kita sedang menyaksikan pembentukan debu-debu bintang (star dust)!

Menurut Emily Cannon, dari KU Leuven, “Debu yang dibuangkan keluar daripada bintang-bintang yang sejuk, seperti yang kita saksikan apa yang berlaku terhadap Betelgeuse ini, mungkin akan menjadi asas kepada pembentukan planet-planet baru dan juga kehidupan”

Foto Betelgeuse yang menunjukkan sebahagian daripada permukaannya sedikit kelam. Kredit ESO VLT.

Foto di atas dirakam menerusi teleskop gergasi kepunyaan European Southern Observatory (ESO), iaitu Very Large Telescope atau VLT yang terletak di Chile. Rakaman dibuat dari Disember 2019 hinggalah April 2020 menunjukkan sebahagian daripada permukaan bintang Betelgeuse kelihatan sedikit kelam berbanding kawasan lain.

Miguel Montargès yang mengetuai pasukan penyelidik ini mengatakan “Buat kali pertama, kita sedang menyaksikan perubahan yang berlaku ke atas sebuah bintang di dalam ‘masa sebenar’, dalam skala minggu”

Buruj Orion ketika artikel ini ditulis tidak lagi kelihatan di langit. Ia terbenam pada waktu Maghrib, dan hanya akan muncul kembali di langit Subuh dalam masa sebulan dua nanti.

Harap-harapnya janganlah pulak Betelgeuse tiba-tiba rasa nak meletop pulak masa ini! 🙂

Rujukan

  1. eso2109 — Mystery of Betelgeuse’s dip in brightness solved
0 0 votes
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments