Subuh 19 Okt – Gerhana Bulan Penumbra yang kurang menarik

Fenomena Gerhana, Transit & Penghijaban

screen 2013-10-16 at 8.20.42 PM

Selalunya apabila berlakunya fenomena langit, saya akan pukul gendang bertalu-talu, menaikkan semangat anda semua untuk keluar melihat kejadian yang bakal berlaku itu.

Namun, untuk kejadian awal Subuh, hari Sabtu 19 Okt nanti, saya agak berhati-hati dan tidak mahu terlalu over excited, kerana apa yang akan dapat dilihat nanti, agak susah untuk ‘dilihat’! Berbelit tak ayat tu? 😛

Sebagaimana semua tahu, dan juga telah saya war-warkan awal tahun ini menerusi artikel INI, Bulan akan sekali lagi memasuki bayang-bayang Bumi. Namun, kali ini ia hanya masuk di dalam kawasan bayang-bayang penumbra Bumi sahaja.

Fenomena Gerhana Bulan Penumbra ini boleh dilihat dari permulaan hinggalah akhir jika kita berada di benua Afrika dan Eropah!

LE2013-10-18N

Malangnya di Malaysia, kita hanya dapat lihat separuh sahaja daripada keseluruhan fasa gerhana ini. Bulan akan secara rasminya memasuki kawasan bayang-bayang penumbra pada jam 5.53 pagi.

Kemudian ia akan bergerak perlahan-lahan dan mula masuk lebih banyak ke dalam kawasan penumbra menuju ke kawasan umbra.

Namun, geometri pergerakan orbit bulan kali ini tidak memungkinkan ia masuk ke kawasan umbra. Menjelang jam 7.50 pagi, ia akan berada di puncak gerhana, dan itu pun ia masih dalam kawasan penumbra. Selepas itu, ia akan mula bergerak keluar kembali.

Untuk menyukarkan lagi keadaan, pada jam 7.50 pagi tu, Bulan sudah pun terbenam! Malah, jika anda guna perisian-perisian astronomi seperti Stellarium, ia akan menunjukkan Bulan terbenam pada jam 6.56 pagi (di Kuala Lumpur).

Maknanya, ketika Bulan masih termengah-mengah nak masuk ke kawasan penumbra, ia sudah semakin rendah di ufuk langit sebelah barat. Altitud atau ketinggian yang ‘rendah’ ini akan menyukarkan kita melihat perbezaan cahaya bulan yang sedang berada dalam kawasan penumbra tersebut. Malah kita mungkin akan mudah terkeliru dan menganggap cahaya bulan yang malap itu sebenarnya bayang-bayang bulan, walhal ia besar kemungkinan disebabkan gangguan atmosfera seperti awan dan jerebu.

Selain itu, jika kita perhatikan waktu bermulanya gerhana itu, iaitu 5.53 pagi, ialah sekitar bermulanya waktu Subuh. Maknanya, langit sudah semakin cerah dan akan menyebabkan contrast cahaya bulan semakin berkurangan dan menambah kesukaran melihat kesan gerhana tersebut.

Bagaimana pula anda yang berada di Sabah? Keadaannya lebih sukar, kerana menurut kiraan, contoh di Kota Kinabalu, Bulan akan terbenam pada jam 5.59 pagi! Selang 6 minit sahaja setelah Bulan memasuki kawasan penumbra.

Rajah di bawah menunjukkan suasana Bulan dan kedudukannya di ufuk barat ketika gerhana (dari langit Kuala Lumpur). Nota: walaupun dalam simulasi di bawah kelihatan jelas bulan sedang digerhanakan, namun hakikatnya dengan mata kasar ia jauh lebih sukar untuk dilihat)

screen 2013-10-16 at 3.43.10 PM

 

(Atas: 5.53 pagi)

screen 2013-10-16 at 3.43.43 PM

 

(Atas: 6:23 pagi)

screen 2013-10-16 at 3.44.07 PM

 

(Atas: 6:53 am)

Oleh itu, saya boleh simpulkan, gerhana bulan penumbra kali ini adalah yang paling tidak menarik dan tidak sesuai dilihat oleh kita di Malaysia dan Asia tenggara. Bagi anda yang berada dan sedang menuntut di Timur Tengah, akan berpeluang lebih tinggi melihatnya nanti.

Mungkin boleh sms sahabat dan keluarga anda yang sedang menunaikan Haji tahun ini, dan masih berada di sana, untuk jengah-jengah ke langit ketika waktu menjelang Subuh sana!

Namun, saya bukanlah nak menghalang sesiapa sahaja untuk mencuba memerhati atau merakamnya nanti, atau sengaja hendak mengendurkan semangat jati jiwa kental pencerap langit semua, saya cuma menceritakan dari sudut fakta dan realiti, berdasarkan pengalaman saya sebelum ini.

Selamat Mencerap!

 

0 0 votes
Article Rating
1 Comment
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
wann

bleh g kt abg muzamir ni..jeng3