Juno selamat melintasi Bumi semalam

Berita Misi Angkasa

EFBapproach2012

Sementara itu, misi angkasa ke planet Musytari, yang digelar Juno (di bawah kendalian NASA) telah berjaya melakukan orbit slingshot dengan Bumi semalam (9 Oktober).

Orbit slingshot ini merupakan satu kaedah di mana kapal-kapal angkasa menggunakan atau ‘meminjam’ tenaga graviti sesebuah planet, dengan tujuan untuk menambahkan kelajuan ke destinasi yang dituju.

JunoCruiseTraj_20130815

(Rajah atas menunjukkan laluan Juno dari Bumi ke Musytari)

Misi Juno ini di dalam perjalanan ke Musytari dan dijangka akan sampai ke sana pada 4 Julai 2016. Ia merupakan antara misi yang cuba mencari rahsia kejadian planet Musytari, bagaimana ia terbentuk dan apakah kesannya terhadap planet-planet lain di dalam sistem suria ini.

Planet Musytari merupakan planet yang terbesar di dalam sistem suria kita dan mempunyai 66 buah satelit semulajadi. Ia terdiri daripada gas, dan tidak mempunyai permukaan yang keras. Misi sebelum ini, Galileo, telah menyelongkar banyak rahsia di sana, dan Juno merupakan kajian susulan yang lebih spesifik.

Perjalanan probe angkasa ini akan mengambil masa selama 5 tahun, dan apabila ia sampai di sana, ia akan mengelilingi planet Musytari di dalam satah orbit polar (iaitu pusingan dari kutub ke kutub). Jika berjaya, Juno akan menjadi kapal angkasa pertama yang mengorbit sedemikian rupa di Musytari.

Sila lihat video di bawah yang mengandungi temubual ringkas bersama salam seorang saintis yang mengendalikan misi ini, Dr. Scott Bolton.

Juno

(Foto atas: Salah seorang peminat astronomi, Emmanuel Conseil, telah merakam lintasan Juno ini menerusi teleskop beliau)

Bagi anda yang ingin tahu di manakah perginya planet Musytari sekarang, kini ia berada di langit sebelah pagi. Ia akan terbit sekitar tengah malam, dan menjelang Subuh ia berada tegak di atas kepala! Ia akan menuju ke istiqbalnya pada 5 Jan 2014 nanti.

screen 2013-10-10 at 9.47.18 AM

(Rajah di atas menunjukkan kedudukan Musytari di langit timur sekitar jam 2 pagi)

Baru-baru ini, apabila kerajaan Amerika Syarikat terpaksa ‘ditutup’, begitu banyak kajian sains telah terjejas dan terpaksa ditangguh buat sementara waktu. NASA tidak terkecuali, dan banyak misinya juga terpaksa disimpan dahulu sehingga ahli-ahli politik di sana menyelesaikan masalah sesama mereka.

Nasib baik misi Juno ini tidak termasuk di dalam senarai yang terpaksa ditutup.

Namun, ketika ia melintasi bumi semalam, sistem komputernya secara automatik bertukar ke safe mode. Saintis dan jurutera mereka kini sedang mencari punca sebenar mengapa ia berlaku. Harapnya tiada kerosakan yang berlaku, atau mungkin ia terlanggar dengan Sandra Bullock di angkasa? 😀

0 0 votes
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments