Siap sedia, Marikh mai dah!

Fenomena Istiqbal
Kompilasi foto planet Marikh yang dirakam oleh penulis pada tahun 2018 lepas. @shahgazer

Jika ada yang perasan sejak 2,3 minggu lepas sekitar tengah malam, ada sebutir ‘bintang’ berwarna merah yang terang sedang terbit di sebelah langit timur.

Rupa-rupanya itulah planet Marikh!

Bumi kini sedang ‘mengejar’ Marikh dan menghampirinya dari hari ke hari. Berdasarkan kiraan falak, Bumi akan bergerak di antara Matahari dan Marikh pada 14 Oktober 2020 nanti.

Fenomena ini dipanggil sebagai istiqbal. Ia juga dikenali sebagai bersetentang atau oposisi (opposition). Pada waktu ini, Marikh akan kelihatan bersetentang dengan kedudukan Matahari dari Bumi. Ketika Matahari terbenam pada waktu Maghrib, Marikh akan terbit di sebelah timur.

Marikh yang dirakam oleh penulis sendiri pada 14 Mei 2020 lepas. @shahgazer

Waktu inilah yang sering ditunggu-tunggu oleh peminat astronomi seluruh dunia. Marikh merupakan planet yang sering menjadi tumpuan ramai, samada peminat astronomi, penulis novel, penerbit cereka wayang, saintis dan jurutera. Jika dilihat dari bentuk fizikal dan suasana persekitaran di permukaan planet ini, ia adalah ‘hampir’ sama dengan Bumi. Ia mempunyai udara (walaupun nipis dan didominasi oleh gas karbon dioksida), ia ada bukti wujudnya aliran cecair (walaupun kita tak dapat pastikan samada yang mengalir di situ air atau cecair lain), ia ada 4 musim (walaupun musimnya 2 kali ganda lebih panjang berbanding Bumi) dan banyak lagi.

Apa yang menjadikan fenomena ini begitu popular ialah ia berkaitan dengan saiz planet Marikh itu sendiri. Planet ini kecil daripada Bumi, lebih kurang separuh daripada saiz Bumi kita. Jaraknya lebih jauh daripada Matahari. Maka, apabila ia bergerak jauh di dalam orbitnya daripada Bumi, ia kelihatan kecil dan kurang menarik. Di langit ia hanya kelihatan seperti sebutir ‘bintang’ merah yang sederhana terang.

Namun, apabila ia berada dekat dengan Bumi, ia akan kelihatan besar (menerusi teleskop) dan memancar amat terang di langit!

Saya baru sahaja pulang dari Jengka, Pahang tempoh hari dan Alhamdulillah disajikan dengan langit yang amat cantik dan gelap. Sekitar jam 12 malam, saya sendiri agak terkejut melihat betapa terangnya Marikh sekarang ini! Maklumlah, cuaca di Kuala Lumpur pada waktu malam selalu berawan sejak beberapa bulan lepas, maka saya tidak berpeluang melihat dan merakam planet ini secara konsisten.

Masuk bulan Oktober nanti, Marikh akan bersinar lebih terang daripada Musytari! Ia akan menjadi objek ke-4 paling cerah di langit (selepas Matahari, Bulan, dan Zuhrah).

Apabila kita melihatnya menerusi teleskop pula, kita akan dapat lihat beberapa variasi shading warna di permukaannya. Majoriti kawasannya kelihatan kemerahan, tetapi ada yang nampak gelap atau keperangan sedikit. Dan di bawahnya, kelihatan seperti satu punjut putih (ini ialah lapisan ais di kutub selatannya).

Beberapa rupa bentuk menarik di atas permukaan Marikh yang dirakam oleh penulis pada tahun 2018 lepas. @shahgazer

Di manakah kedudukan Marikh sekarang?

Marikh berada di dalam kawasan buruj Pisces, sebuah buruj yang besar dan panjang dan tidak mempunyai bintang-bintang yang memancar terang.

Malah, keseluruhan kawasan langit timur di sekitar Marikh ini tidak mempunyai sebarang bintang yang cerah. Maka, adalah ‘hampir mustahil’ untuk sesiapa terlepas pandang planet ini.

Pandang sahaja ke arah timur, nampaklah Marikh tu!

Secara amnya, lakukan pencarian Marikh malam ini, bermula jam 11 malam di ufuk sebelah timur. Menjelang hujung bulan September ini, ia akan terbit semakin awal, dan sudah boleh dilihat sekitar jam 10 malam.

Paling mudah kalau masih tak jumpa jugak, ialah tunggu pada 2 dan 3 Oktober nanti. Ketika itu, Bulan akan berada betul-betul di sebelah planet merah ini.

Kalau tak jumpa jugak masa tu..tak dapatlah pakcik nak tolong!

Bulan melintasi Marikh pada 2 dan 3 Oktober 2020 nanti.

Retrograde

Secara amnya, planet Marikh akan begerak perlahan-lahan ke arah timur dari hari ke hari. Pergerakan ini hanya akan dapat dilihat apabila kita bandingkan kedudukan planet ini dengan bintang-bintang yang berada disekitarnya.

Apabila Bumi mula mendekati Marikh, planet ini akan kelihatan begerak menyongsang ke arah barat pula. Ini BUKAN bermaksud ia terbit dari arah Barat! BUKAN TU! Tolong faham betul-betul! Maksud di sini ialah, dengan membandingkan kedudukan bintang-bintang di sekitar Marikh, ia akan ‘kelihatan’ bergerak menuju ke arah barat secara perlahan-lahan dari hari ke hari.

Pergerakan menyongsang ini dikenali sebagai retrograde.

Konsep ini harapnya lebih mudah difaham dengan merujuk animasi di bawah.

Pergerakan retrograde ini mula berlaku semalam, 9 September 2020 hinggalah 15 November 2020. Selepas tarikh itu, ia akan kembali begerak seperti biasa (prograde).

Pandangan menerusi teleskop

Fenomena istiqbal berlaku secara berulang setiap 2 tahun 2 bulan. Namun, bukan semua istiqbal itu sama. Disebabkan orbit Marikh dan Bumi mempunyai perbezaan bentuk disekeliling Matahari, ada ketikanya istiqbal pada tahun itu amat dekat, dan ada yang jauh.

Jarak Marih dan Bumi bagi tarikh-tarikh istiqbal/oposisi 2018 hingga 2033. Saiz Marikh di atas adalah dalam skala arc saat. Kredit Pete Lawrence.

Untuk tahun 2020 ini, Marikh tidaklah sedekat seperti tahun 2018 lepas. Namun, ia masih tetap besar dan cantik apabila dilihat menerusi teleksop.

Lihat beberapa foto menarik planet Marikh telah dikongsikan oleh peminat astronomi dunia. Kesemuanya dirakam menerusi teleskop.

Selamat mencerap!

5 1 vote
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments