Mukadimah Fenomena Gerhana Matahari Penuh Indonesia 2016

Fenomena Gerhana, Transit & Penghijaban Rujukan Rujukan, Peralatan & Perisian

Sebagaimana semua sedia maklum, pada 9 Mac 2016, fenomena Gerhana Matahari Penuh akan melalui negara jiran kita, Indonesia. Ia akan merentasi dari Sumatera hingga ke Kepulauan Maluku di timur, sebelum ia masuk ke kawasan Lautan Pasifik. Disebabkan tinggal kurang 7 bulan lagi untuk ia berlaku, maka saya rasa sekarang adalah masa sesuai untuk menyampaikan maklumat mengenai fenomena tersebut.

Kebanyakan daripada apa yang ditulis di sini boleh juga didapati menerusi laman-laman web yang saya senaraikan dihujung artikel. Cuma, saya akan tambah beberapa pendapat peribadi, yang mungkin boleh membantu anda membuat perancangan terbaik nanti.


Tarikh, waktu dan lokasi

 

Gerhana Matahari Penuh (TSE2016) ini akan berlaku pada hari Rabu, 9 Mac 2016 bermula sekitar jam 7.30 pagi di Sumatera dan sekitar jam 10 pagi di Maluku Utara. Lain kawasan, lain waktu gerhananya bermula.

Namun secara amnya, ia akan berlaku pada waktu pagi, hari Rabu tersebut.

Di bawah merupakan peta laluan fenomena gerhana matahari penuh ini akan berlaku.

Screen Shot 2015-09-03 at 10.52.37 PM

Di antara bandar-bandar besar/utama yang akan mengalami gerhana ini ialah Palembang, Palangkaraya, Balik Papan. Di kawasan Sulawesi, ia akan melalui bandar bernama Palu, dan di Maluku Utara, bandar Ternate menjadi tumpuan.

Selain daripada waktu yang berlainan, julat waktu ketika fasa gerhana penuh (iaitu ketika matahari terlindung 100% oleh bulan) pun berlainan dari tempat ke tempat. Adalah mustahil untuk menyenaraikan waktu kejadian di setiap titik lokasi gerhana.

Oleh itu, saya telah memilih beberapa bandar utama dan menyenaraikan waktu-waktu bagi setiap fasa gerhana ini akan berlaku di lokasi tersebut. Ini mungkin boleh dijadikan panduan kasar kepada anda untuk memilih kawasan pilihan.

Kiraan ini dibuat oleh Xavier M. Jubier dan boleh juga didapati di sini.

Nota:

Fasa gerhana matahari terbahagi kepada 5 fasa utama

  • 1st Contact (C1) – Saat di mana sisi Bulan kali pertama  kelihatan di tepi matahari, menandakan bermulanya gerhana. Ketika ini kita panggilnya sebagai Fasa Gerhana Separa (Partial Eclipse)
  • 2nd Contact (C2) – Saat di mana keseluruhan Matahari telah dilindungi oleh Bulan. Langit gelap seperti waktu lewat senja.
  • Gerhana Maksimum – Saat di waktu puncak gerhana. Maknanya, sebagai contoh jika waktu keseluruhan fasa gerhana penuh ialah 2 minit, waktu Maximum Eclipse ialah pada minit ke-1.
  • 3rd Contact (C3) – Saat di mana kita mula dapat lihat silau cahaya matahari, menandakan Bulan sudah mula bergerak dan sebahagian daripada matahari mula kelihatan. Ketika ini fasa Totality (gerhana matahari penuh) pun secara rasminya tamat.
  • 4th Contact (C4) – Saat di mana bentuk jasad Bulan telah hilang keseluruhannya daripada matahari, menandakan tamat gerhana.

Waktu yang paling kritikal dan patut diambil perhatian ialah bermula dari C2 hingga ke C3, yang mana ketika itu matahari terlindung sepenuhnya dan suasana menjadi gelap.

Semua waktu fasa-fasa gerhana di bawah adalah WAKTU TEMPATAN (Local time) bandar masing-masing.


Screen Shot 2015-09-03 at 10.54.01 PM

Palembang, Sumatera
Waktu Durasi Gerhana Penuh: 1 minit 50 saat

Matahari terbit : 6:10 AM
1st Contact (C1):  6:20:29 AM   Ketinggian matahari +2.5º
2nd Contact (C2):  07:20:48 AM  Ketinggian matahari +17.5º
Gerhana Maksimum:  07:21:43 AM  Ketinggian matahari +17.7º
3rd Contact (C3):  07:22:38 AM  Ketinggian matahari +18.0º
4th Contact (C4):  08:31:25 AM  Ketinggian matahari +35.1º

Tanjung Pandan, Pulau Belitung
Waktu Durasi Gerhana Penuh: 2 minit 2.4 saat

Matahari terbit :  5:58 AM
1st Contact (C1):  6:21:08 AM  Ketinggian matahari +5.5º
2nd Contact (C2):  6:22:55.7 AM  Ketinggian matahari +20.9º
Gerhana Maksimum: 6:24:01.6 AM  Ketinggian matahari +21.2º
3rd Contact (C3):  6:25:08 AM  Ketinggian matahari +21.5º
4th Contact (C4):  8:35:53 AM  Ketinggian matahari +39.1º


Screen Shot 2015-09-03 at 10.54.56 PM

Palangkaraya, Kalimantan
Waktu Durasi Gerhana Penuh: 2 minit 29.8 saat

1st Contact (C1): 6:23:29 AM  Ketinggian matahari +12.3º
2nd Contact (C2): 07:28:57 AM  Ketinggian matahari +28.6º
Gerhana Maksimum : 07:30:12 AM  Ketinggian matahari +28.9º
3rd Contact (C3): 07:31:27 AM  Ketinggian matahari +29.2º
4th Contact (C4): 08:46:54 AM  Ketinggian matahari +48.0º

Balikpapan, Kalimantan
Waktu Durasi Gerhana Penuh: 1 minit 10.2 saat

1st Contact (C1):  07:25:36  Ketinggian matahari +15.6º
2nd Contact (C2): 08:33:48  Ketinggian matahari +32.6º
Gerhana Maksimum: 08:34:23  Ketinggian matahari +32.8º
3rd Contact (C3): 08:34:58  Ketinggian matahari +32.9º
4th Contact (C4): 09:53:36  Ketinggian matahari +52.5º


Screen Shot 2015-09-03 at 10.56.24 PM

Palu, Sulawesi
Waktu Durasi Gerhana Penuh: 2 minit 04.9 saat

1st Contact (C1): 07:27:51 AM  Ketinggian matahari +19.2º
2nd Contact (C2): 08:37:47 AM  Ketinggian matahari +36.6º
Gerhana Maksimum: 08:38:49 AM  Ketinggian matahari +36.9º
3rd Contact (C3): 08:39:52 AM  Ketinggian matahari +37.2º
4th Contact (C4): 10:00:34 AM  Ketinggian matahari +57.2º

Ternate, Maluku Utara
Waktu Durasi Gerhana Penuh: 2 minit 43.2 saat

1st Contact (C1): 08:36:03 AM  Ketinggian matahari +28.6º
2nd Contact (C2): 09:51:37 AM  Ketinggian matahari +47.4º
Gerhana Maksimum: 09:52:58 AM  Ketinggian matahari +47.7º
3rd Contact (C3): 09:54:20 AM  Ketinggian matahari +48.0º
4th Contact (C4): 11:20:49 AM  Ketinggian matahari +69.3º


Ramalan Cuaca di Indonesia

 

Indonesia (seperti Malaysia) terletak di kawasan Khatulistiwa dan mengalami cuaca panas lembap sepanjang tahun. Berdasarkan maklumat di sini, kebanyakan lokasi laluan gerhana ini akan berpotensi berawan.

Namun, jumlah taburan awan dikatakan berkurang apabila semakin ke timur Indonesia.

screen 2015-09-03 at 1.41.26 PM
Sumber: Jay Anderson

Pemerhatian  daripada peta taburan awan di atas, dapat memberi gambaran kasar terhadap densiti awan (paling banyak bewarna oren dan paling kurang awan berwarna biru).

Di bawah merupakan graf peratusan taburan awan berdasarkan rekod semasa.

screen 2015-09-03 at 1.49.42 PM

Jelas di sini, kawasan Sumatera dan Kalimantan akan mengalami jumlah awan yang banyak, berbanding kawasan ke timur, iaitu di Sulawesi dan Kepulauan Maluku.


Gerhana dari Malaysia

 

Di Malaysia, kita tidak akan dapat melihat fasa gerhana penuh. Disebabkan garisan laluan gerhana ini hanya akan merentasi Indonesia, kita di Semenanjung, dan Sabah serta Sarawak, hanya akan dapat lihat gerhana matahari separa.

Ini bermaksud, Bulan hanya akan menutup sebahagian sahaja daripada matahari (tidak semua).

Kesannya ialah… tiada perubahan dari segi kecerahan langit. Kita akan lihat matahari bersinar terang di langit, seolah-olah seperti tiada gerhana yang berlaku.

Fasa gerhana separa ini hanya dapat dilihat apabila kita melihat matahari menggunakan cermin mata khas matahari, atau menerusi teleskop dan kamera yang dipasang penapis matahari.

Namun begitu, jangan anggap ia tidak menarik. Fasa-fasa gerhana separa masih lagi cukup mengujakan, terutama sekali jika kita merakam dan menyusunkan mengikut waktu sebenar.

Sebuah artikel khas untuk gerhana dari Malaysia akan dimuatnaik nanti, InsyaAllah.


Perancangan

 

Perancangan untuk menjejak fenomena gerhana matahari ini perlu teliti kerana ia melibatkan banyak faktor seperti kos, lokasi, peralatan dan sebagainya. Saya sendiri pernah menjejaki gerhana matahari di Turki (2006), Anyer (2009), Jiaxing, China (2009), Australia (2012 dan 2013), dan dari situ saya boleh kongsikan serba sedikit pandangan yang mungkin boleh membantu anda membuat pilihan terbaik.


Lokasi

 

Pemilihan lokasi penting, kerana semua orang mahupun pandangan atau view yang terbaik ketika fasa gerhana penuh itu berlaku. Namun begitu, kita juga harus ambil kira faktor seperti berikut:

  1. Waktu durasi paling optimum yang mahu dilihat. Kadangkala titik atau poin di mana waktu durasinya paling panjang, tidak semestinya di dalam bandar-bandar utama. Sebagai contoh, di Palembang, jika kita mencerap dari dalam bandar Palembang, durasinya ialah 1 minit 50 saat. Namun, jika kita sanggup memandu lebih kurang 100 km ke utara dari Palembang, kita akan dapat durasi selama 2 minit. Persoalannya di sini ialah adakah kita ini jenis adventurous dan sanggup memandu jauh? Atau adakah kita rasa 1 minit 50 saat sudah mencukupi?
  2. Keselesaan ke lokasi. Kita mungkin mahu yang paling selesa, kalau boleh dapat tengok gerhana terus dari jendela tingkap hotel pun dah bagus! Namun, selalunya apa yang kita fikirkan itu tak semestinya itulah yang kita dapat. Kadangkala kita terpaksa ubah lokasi pada saat akhir kerana apabila kita berada di tempat cerapan, barulah kita dapat lihat ia tidak begitu sesuai. Sebaiknya recce lah sehari dua sebelum gerhana.
  3. Kemampuan untuk berpindah. Jika cuaca tidak mengizinkan, kita harus juga mempunyai rancangan kedua, atau Plan B, seperti berpindah ke lokasi lain pada saat-saat akhir. Pengalaman saya di sini ialah jika kita memandu sendiri dalam sebuah kereta, adalah jauh lebih mudah bergerak jika bergerak dalam kumpulan besar.
027
Penulis berhadapan dengan suasana hujan di Jiaxing, China pada tahun 2009. Foto oleh Ustaz Mohd Noor.

Kos

 

Kos akan memainkan peranan utama di dalam pengembaraan menjejaki gerhana kali ini. Dari segi lokasi terbaik, jelas kawasan timur Indonesia seperti Sulawesi dan Ternate merupakan hot spot kegemaran pencerap gerhana dunia (jika mengikut ramalan cuaca).

Namun, lokasi-lokasi yang ada di sana agak terpencil. Hotelnya pun tidak banyak. Selalunya hotel-hotel ini sudah pun ditempah setahun sebelum tarikh gerhana!. Selain itu, disebabkan bilangan hotel yang sedikit, kita kena siap sedialah dengan harga yang mahal dan berlipat kali ganda dari harga asal.

Kena ingat, bukan kita sahaja yang akan turun padang, seluruh peminat astronomi dunia akan turut sama ke sini!

Kos penerbangan juga kena ambil kira. Setakat ini, banyak penerbangan ke Palembang dan Kalimantan, tetapi untuk ke Sulawesi dan Ternate, kita terpaksa mengambil sekurang-kurangnya 2 penerbangan berlainan. Satu dari Kuala Lumpur, dan satu lagi penerbangan domestik untuk ke lokasi berkenaan. Maka jumlah kos keseluruhan penerbangan kena ambil kira.


Masa

 

934607_10200721105862365_1426545259_n
Suasana menjelang terbitnya matahari, ketika ekspedisi gerhana matahari cincin 2013 di Australia.

Masa untuk kita berada di lokasi juga penting. Disebabkan gerhana matahari ini akan berlaku di awal pagi, maka kita kena sudah siap sedia sampai di lokasi cerapan selewatnya waktu Subuh, atau mungkin tengah malam sebelum gerhana itu berlaku.

Kenapa perlu awal? Seperti yang saya sebutkan tadi, bukan kita sahaja yang akan mencerap gerhana, malah akan ada puluhan ribu lagi penduduk tempatan, pelancong luar negara, ahli saintis dan lain-lain, yang akan sama berada di lokasi itu. Kalau kita datang last minute, jangan haraplah nak dapat pandangan atau port yang terbaik!

Selain itu, kadangkala lokasi yang dijangka boleh dibuat cerapan, tiba-tiba terpaksa ditukar pada saat-saat akhir, kerana ia mungkin tutup atas alasan keselamatan ke, atau apa-apa sahajalah.

Kita ini berada di negara luar, maka undang-undang atau selok-belok program gerhana ini hanya dapat diketahui apabila sampai di sana. Maka, kena siap-sedia untuk sebarang kemungkinan.


Peralatan

 

Di antara peralatan yang dibawah oleh penulis dan Dr.Rowi semasa ekspedisi gerhana di Australia pada tahun 2012. ©Shahrin Ahmad

Apakah jenis peralatan yang akan kita bawa? Adakah kita sekadar mahu melihat gerhana dengan mata kasar atau mungkin kita hendak merakamnya menggunakan kamera ataupun teleskop?

Berapa beratkah keseluruhan alat yang hendak di bawa? Ini kena ambil kira juga kerana akan ada kesan terhadap kos bagasi penerbangan anda.

Selain itu, bagaimanakah anda mahu menyimpan dan membawa peralatan ini? Dalam beg yang dibawa naik ke atas atau disimpan dalam kargo? Jika disimpan dalam kargo adakah beg kita itu mampu menyelamatkan peralatan kita itu setelah dihumban ke sana sini semasa di lapangan terbang?

Setahu sayalah, letaklah label “Fragile” ke apa ke… last-last kena campak juga beg kita tu!


Latihan

 

Jika kita bercadang untuk melihat gerhana dengan mata kasar, latihan tidak  diperlukan. Kita hanya perlu tahu waktu fasa-fasa gerhana itu berlaku dan carilah lokasi yang paling sesuai dan selesa.

Lain pula ceritanya jika kita bercadang untuk merakam fenomena ini. Latihan amat penting!

Latihan seperti setting kamera atau teleskop, timing ketika fasa gerhana dan seumpama ini, semuanya perlu dibuat sebelum kita pergi ke Indonesia. Malah, ia sepatutnya sudah dilakukan sekarang.

Kita kena kenalpasti dahulu apa metod rakaman kita itu nanti. DSLR sahaja ke, DSLR dengan teleskop ke, video kamera ke, GoPro ke.

Adakah kita hendak fokus kepada matahari sahaja ke, atau nak rakam suasana sekeliling ke, seperti merakam bayang-bayang bulan (moon shadow)?

Bayang-bayang bulan, atau Moon shadow, yang dapat dilihat ketika waktu fasa gerhana penuh. ©Shahrin Ahmad

Banyak persoalan di atas perlu dijawab terlebih dahulu. Kemudian, setelah itu barulah  kita boleh kenalpasti alat yang akan dibawa. Latihan akan menyusul selepas itu berdasarkan alat yang dibawa.

Saya cadangkan, cuba lihat video-video gerhana di youtube untuk mendapat gambaran suasana gerhana itu nanti.


Automation

 

Merakam foto gerhana merupakan satu perkara yang amat stress. Ini adalah kerana durasi masa ketika fasa gerhana penuh itu amat pendek. Di dalam kes Palembang, hanya 1 minit 50 saat. Bayangkanlah dalam masa yang pendek itulah, kita hendak mengambil gambar, hendak tukar setting kamera, nak pandang ke langit, nak tengok sekeliling. Masa itu jugalah kawan kita mula tanya setting kamera apa yang terbaik, masa itulah juga bateri habis.. dan 1001 macam lagi kejadian.

Berdasarkan pengalaman kelam kabut pada tahun 2006, saya telah merancang untuk menggunakan perisian yang akan mengawal dan merakam gambar secara automatik, tanpa perlu kita lakukan apa-apa pada kamera, semasa gerhana tahun 2009.

Malangnya, disebabkan hujan di China,  saya terpaksa menunggu 3 tahun kemudian, iaitu pada bulan November 2012 barulah dapat implimentasikan automation ini.

Walaupun tidaklah sempurna seperti yang diidamkan,  namun ia berjaya membebaskan diri saya daripada kekalutan tak tentu pasal dengan kamera, dan terlepas peluang melihat gerhana dengan mata!

Perisian yang saya gunakan ialah Solar Eclipse Maestro.

InsyaAllah dalam artikel yang akan datang, saya akan perincikan kemampuan perisian ini, dan bagaimana ia boleh membantu anda merakam gerhana secara automatik!


Solat Gerhana

 

Satu aspek kerohanian penting ketika fenomena Gerhana Matahari ini ialah Solat Sunat Gerhana. Ia merupakan satu ibadat sunat muakkad yang penting yang seeloknya dilakukan oleh kita yang mempunyai masa terluang.

InsyaAllah dalam artikel akan datang, saya akan usaha mendapatkan maklumat terperinci daripada guru-guru falak tempatan mengenai solat gerhana ini, dan bagaimana ia boleh dilakukan dengan cara terbaik.


Kita hanya merancang

 

Namun, segala yang kita buat, perancangan yang telah diterjemahkan hanya usaha kita sebagai manusia yang tiada daya upaya. Allah SWT jualah yang menentukan segala-galanya. Berdasarkan pengalaman saya yang sedikit di atas, tidak semua ekspedisi gerhana dapat memberi hasil cerapan yang baik.

2006 – Gerhana Penuh di Turki. Alhamdulillah ini merupakan ekspedisi gerhana penuh saya yang pertama dan ditakdir cuaca amat cantik! Segala berjalan lancar.

Jan 2009 – Anyer, Indonesia. Gerhana Matahari Cincin di Anyer, tetapi cuaca agak berawan dan keadaan matahari tidak begitu jelas.

Julai 2009 – Jiaxing, China. Gerhana Matahari Penuh yang terpanjang untuk abad ke-21. Namun, ditakdirkan hujan! Kami yang pergi tidak dapat melihat suasana matahari gelap dilindungi bulan, namun berpeluang mengalami suasana yang amat gelap berbanding biasa. Ramalan  sebelum ke China menyatakan cuaca baik di China tetapi semakin berawan di India. Realitinya pada hari gerhana, China berawan tetapi India mendapat pandangan yang terbaik.

Nov 2012 – Mareeba, Australia. Gerhana Matahari Penuh. Cadangan asal hendak mencerap di sepanjang pantai Cairns, Queensland. Tetapi apabila mendapat berita cuaca yang tidak mengizinkan pada tarikh gerhana tersebut, kami pun tukar rancangan dan pergi ke bandar lain, 1 jam perjalanan ke kawasan pendalaman. Alhamdulillah dapat cuaca baik.

Mac 2013 – Newman, Australia. Gerhana Matahari Cincin. Kami terpaksa menaiki kereta sejauh 1300km, 12 jam perjalanan merentasi kawasan kosong Australia Barat, untuk melihat matahari terbit dalam keadaan gerhana. Cuaca baik pada malam sebelum gerhana, namun pada paginya, agak berawan di ufuk dan kami hanya sempat tengok fasa gerhana cincin tak sampai 15 saat sahaja. Rakan ekspedisi, Halda ada menulis dalam blog beliau.

Kesemua di atas menunjukkan beberapa risiko yang perlu kita ambil kira apabila ke Indonesia nanti. Saya tidak boleh menjanjikan cuaca baik, namun apa yang pasti kita usahalah yang terbaik mengikut kemampuan kita.  Selebihnya di serah kepada Allah SWT.

لاحول ولا قوة إلا بالله العلي العظيم


945248_10200720691292001_123493720_n
Penulis bersama Muzamir, Ustaz Ahmad Zaki dan Halda ketika menjejaki Gerhana Matahari Cincin di Australia 2013

Secara amnya, artikel ini merupakan mukadimah kepada fenomena gerhana matahari tahun hadapan.

InsyaAllah dari semasa ke semasa, saya akan memuat naik artikel-artikel berkaitan serta beberapa video gerhana yang saya sempat rakam sebelum ini. Saya juga akan cuba membincangkan lebih terperinci mengenai cara-cara mencerap gerhana, samada dengan mata kasar mahupun dengan alat rakaman.

Doakan saya, agar Allah SWT memberikan kekuatan dan ketenangan di dalam menyalurkan seberapa banyak maklumat menjelang Gerhana Matahari Penuh 2016 ini nanti.

Wallahua’lam


Ketika berada di ekspedisi gerhana di Jiaxing, China pada tahun 2009, Ibu kepada penulis telah pulang ke Rahmatullah di tanahair. Penulis terpaksa memendekkan masa dan bergegas pulang untuk urusan pengkebumian. Mohon jasa baik pembaca sekalian sedekahkah Al-Fatihah buat arwah. Semoga Allah SWT mengampuni dosa arwah mak dan merahmati rohnya.

اللهم اغفر له، وارحمه، وعافه، واعف عنه

الفاتحة


Rujukan

  1. Total Solar Eclipse of 2016 March 8-9 in Indonesia or Micronesia . Xavier M. Jubier (IAU member – working group on solar eclipses) http://xjubier.free.fr/en/site_pages/solar_eclipses/TSE_20160309_pg01.html
  2. Langit Selatan – Gerhana matahari total 2016 – http://gerhana.langitselatan.com/en/
  3. http://eclipse.gsfc.nasa.gov/SEgoogle/SEgoogle2001/SE2016Mar09Tgoogle.html

0 0 votes
Article Rating
2 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
Kishen Rao

Hai di sana!…
Walaupun hanya sekadar gerhana matahari separa aje, saya cukup berminat utk menyaksikan fenomena ini, kerana saya x pernah lihat kejadian ni sebelum ini!

Encik tahu tak cara utk dpt ‘Solar Eclipse Glasses’ selain drpd order dari internet atau dari majalah-majalah astronomi yg mahal2 ?

Harap2 pd masa tersebut cuaca taklah mendung…. 🙂