Pluto melambai

Berita Misi Angkasa

Sudah lama saya tidak menulis mengenai Pluto. Sedar atau tidak, tinggal lebih kurang 3 minggu sahaja lagi untuk peninjau angkasa New Horizons melakukan lintasan paling bersejarah tersebut pada 15 Julai 2015 ( 2 hari sebelum Aidilfitri! ). Saban hari, ada sahaja berita-berita penemuan terbaru dipaparkan. Bergerak dengan kelajuan 23km SESAAT (ketika ia melintasi Musytaru hujung tahun 2014), New Horizons bakal menyajikan beberapa kejutan baru setiap hari.

Menggunakan kamera di atasnya, yang dipanggil Long Range Reconnaissance Imager (LORRI), beberapa siri foto ‘paling jelas’ terhadap Pluto dan bulan-bulannya, telah diperolehi sepanjang bulan Jun ini.

nh-lorri-pluto-1
Credits: NASA/Johns Hopkins University Applied Physics Laboratory/Southwest Research Institute

Foto di atas menunjukkan beberapa ciri permukaan berskala besar, yang kelihatan seperti tompokan gelap dan terang. Ciri-ciri ini tidak pernah dilihat sebelum ini, dan hanya kelihatan dengan jelas kerana kedudukan peninjau ini yang mula menghampiri planet kerdil ini.

Ketika artikel ini ditulis, New Horizons berada 4.7 bilion km daripada Bumi, dan hanya berada 25 juta km sahaja dari Pluto, maka tak hairanlah kita sudah mula melihat sesuatu yang menarik.

loop_bc_final

Di atas pula ialah foto WARNA pertama sistem Pluto, yang telah dihasilkan daripada beberada siri rakaman foto dari 29 Mei hingga 3 Jun. Menarik di sini ialah kelihatan Pluto (di tengah-tengah) kelihatan bergerak “ke sana ke sini” apabila bulannya, Charon mengelilinginya.

Ini adalah kerana titik tengah graviti sistem Pluto-Charon ini tidak berada di Pluto, tetapi ‘di angkasa’ atau di luar permukaan Pluto. Ia disebabkan, jisim bulan Charon ini agak besar apabila dinisbahkan dengan Pluto. Malah saiznya pun tak jauh beza dengan planet yang diorbitnya (lihat rajah di bawah).  Boleh kaji berkenaan dengan konsep Barycenter ini dengan lebih lanjut menerusi banyak artikel di internet.

Pluto_Charon_Moon_Earth_Comparison
Saiz Pluto dan Charon, jika dibandingkan dengan Bumi dan Bulan.

Akhir sekali, yang paling mengejutkan ramai ahli astronomi dan peminat astronomi sedunia ialah bulan Charon itu pun ada menunjukkan variasi tone kecerahan yang berbeza-beza, sama seperti Pluto.

nh-lorri-charon-1-2

Foto di atas dirakam menerusi LORI pada 18 Jun 2015 lepas. Menggunakan teknik deconvolution (foto kanan) untuk menjadikan imej asal lebih jelas dan sharp, ahli astronomi berjaya memaparkan kawasan gelap dan terang di Charon dengan lebih jelas, terutama di kawasan kutubnya.

Apa lagi yang akan ditemui dalam masa 3 minggu ini? Saya sendiri turut teruja dan tertunggu-tunggu, kerana kita semua berada di front seat penemuan paling bersejarah dalam ketamadunan manusia. Maka, jangan lepaskan peluang menjadi sebahagian daripada sejarah, dan mungkin kita berpeluang menceritakan kembali kepada anak-cucu kita nanti, bagaimanakah suasana perasan kita apabila berjaya melihat permukaan Pluto buat pertama kalinya.

Jom layan video-video ini! 🙂

Ikuti perkembangan terkini misi New Horizons ini menerusi twitternya.

 

0 0 votes
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments