Angin, palung, dataran luas, atmosfera yang terlucut – semuanya di Pluto!

Berita Misi Angkasa Penemuan Terkini

Pluto terus menerus mengejutkan peminatnya.

Lewat tengah malam tadi (waktu Malaysia), sidang media oleh saintis New Horizons telah mempamerkan gambar terbaru permukaan Pluto, bulannya Nix dan penemuan penting mengenai atmosfera Pluto.


Dataran luas berbentuk poligon

 

Fokus kali ini ialah di kawasan berbentuk ‘love’, yang kini dikenali secara tidak rasmi sebagai Tombaugh Regio. Di kawasan tersebut, kelihatan seperti satu dataran luas, yang dipenuhi dengan begitu banyak bukit-bukit berbentuk poligon yang mempunyai kelebaran lebih kurang 20km setiap satu. Dataran ini diberi nama Sputnik Planum.

Sputnik Planum
Kawasan dataran berbentuk pligon, Sputnik Planum. NASA / JHUAPL / SwRI

Setiap ‘bukit’ ini dipisahkan oleh garisan seperti palung. Ada sesetengah palung itu gelap warnanya, dan ada yang mengandungi busut-busut tinggi di dalamnya.

“Kawasan ini tidak mudah untuk dijelaskan!”, komen saintis Jeff Moore dalam sidang akhbar tersebut.

Palung-palung itu mungkin wujud hasil proses pemejalwapan (sublimation), yang mana ais berubah dari keadaan pepejal  terus menjadi gas. Dalam kes Pluto, permukaannya diselaputi nitrogen, metana dan karbon monoksida yang beku.

Selain itu, di bahagian ‘love’ sebelah kiri, saintis telah menemui satu kawasan yang mana karbon monoksidanya banyak tertumpu di situ.

Kawasan tertumpunya Karbon Monoksida yang banyak
Kawasan tandaan hijau menunjukkan tertumpunya Karbon Monoksida yang banyak di situ. NASA / JHUAPL / SwRI

Berkenaan dengan bentuk poligon itu, ia mungkin wujud hasil dari proses perolakan (convection) dari bawah tanah. Namun kesemua ini masih terlalu awal untuk dibuat sebarang kesimpulan yang muktamad.


Angin di Pluto?

 

Selain itu, dalam gambar tersebut juga kelihatan beberapa tompokan hitam yang mempunyai bentuk jalur berkilometer panjangnya. Jalur-jalur hitam ini serupa seperti apa yang dilihat di Marikh. Ia mungkin gumpalan geyser yang mengeluarkan bahan-bahan dari bawah permukaan Pluto. Namun, masih terlalu awal juga untuk membuat sebarang spekulasi. Gambar-gambar akan datang yang lebih tinggi resolusinya akan memberi gambaran lebih jelas.

Jalur hitam yang kelihatan mungkin tanda pergerakan angin di Pluto
Jalur hitam yang kelihatan mungkin tanda pergerakan angin di Pluto . NASA / JHUAPL / SwRI

Namun, menarik di sini ialah besar kemungkinan ada wujud pergerakan udara seperti angin di permukaan Pluto yang menyebabkan bahan gelap ini tertolak ke satu arah yang konsisten.


Terbang di sekitar Morgay Montes

 

Dalam sidang akhbar itu juga, saintis New Horizons telah menunjukkan sebuah video simulasi yang membawa kita ‘terbang’ di kawasan pergunungan tempoh hari (yang kini diberi nama Norgay Montes) dan juga kawasan dataran Sputnik Planum tadi.

‘Penerbangan’ ini menggunakan data yang diperolehi daripada kamera Long Range Reconnaissance Imager pada jarak 77,000km. Menerusi video ini, kita boleh lihat kawasan sekecil 1 km!

Menarik di sini ialah, nama Morgay Montes ialah bersempena dengan nama sherpa dari Nepal, Tenzing Norgay, yang menjadi pendaki pertama (bersama-sama dengan pendaki British, Edmund Hillary)  mendaki Gunung Everest pada tahun 1953.


Atmosfera yang terlucut

 

Berkenaan dengan atmosfera Pluto, data awal menunjukkan angin suria yang datang daripada matahari, telah melucutkan atmofera Pluto yang didominasi oleh gas nitrogen, ke angkasa lepas dan membentuk ekor ion yang memanjang ke arah belakang Pluto (berlawanan arah dari matahari).

Seolah-olah macam ekor komet pulak!

Kajian menunjukkan kadar kehilangan atmosfera Pluto ialah sekitar 500 ton sejam! Namun, menurut saintis Fran Bagenal, data lebih terperinci akan diperolehi pada bulan Ogos nanti akan memberi gambaran lebih jelas.

Tebal atmosfera Pluto juga sekitar 1600km di atas permukaan Pluto! Agak tebal berbanding apa yang disangka sebelum ini!


Bulan Nix.

 

Salah sebuah bulan Pluto, bernama Nix, telah juga berjaya dirakam oleh New Horizons pada jarak 590,000km. Walaupun imej bersaiz 12 piksel ini tidaklah jelas, namun ia masih dapat memberi gambaran lebih jelas mengenai bentuk Nix, yang mana kelihatan lebih sfera daripada apa yang dijangka sebelum ini. Nix mempuyai saiz sekitar 40km.

Bulan Nix pada jarak 590,000km
Bulan Nix pada jarak 590,000km. NASA / JHUAPL / SwRI

 

Sidang media seterusnya akan diadakan pada hari Jumaat depan.

Nampaknya Pluto ni tidaklah se-boring yang disangka. Ia kelihatan sungguh aktif dari sudut geologinya, walaupun terletak berbilion km jauh daripada matahari!

MasyaAllah! Hebat betul alam ciptaan Ilahi, untuk kita mempelajarinya!

 

0 0 votes
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments