Gerhana Bulan Penumbra 17 Sep 2016

Berita Fenomena Gerhana, Transit & Penghijaban

screen-shot-2016-09-13-at-3-26-42-pm

Pada awal pagi 17 September 2016 nanti, akan berlaku fenomena Gerhana Bulan Penumbra. [1]

Gerhana jenis ini berlaku apabila Bulan hanya memasuki kawasan bayang-bayang Bumi yang ‘kurang gelap’ iaitu bayang-bayang Penumbra (Syibhu Dzil)[2]


Jenis-jenis Gerhana Bulan

 

Gerhana Bulan berlaku apabila Bumi berada tepat di antara Matahari dan Bulan. Ketika itu Bulan berada dalam fasa purnama. Disebabkan Bumi ini merupakan jasad yang pejal, maka ia akan menghalang cahaya matahari dan menghasilkan bayang di angkasa lepas.

Namun, kita hanya dapat melihat kewujudan bayang-bayang ini apabila ada jasad lain melintasi di hadapannya, seperti Bulan.

Bayang-bayang Bumi ini pula ada mempunyai 2 bahagian, iaitu umbra (bahagian gelap) dan penumbra (bahagian kurang gelap). Penghasilan 2 jenis kawasan bayang-bayang ini adalah disebabkan sumber cahaya (iaitu matahari) merupakan sebuah jasad yang mempunyai ‘saiz besar dan nyata’. Maka sumber cahayanya datang daripada sebuah ‘bulatan’ dan bukannya dari satu titik (seperti bintang).[3]


Waktu gerhana

 

Bulan akan mula memasuki kawasan penumbra ini  pada jam 12.54 tengah malam, 17 Sep 2016.

Bulan akan berada di puncak gerhana iaitu dalam kawasan bayang-bayang penumbra yang paling dalam, sekitar jam 2.55 pagi.

Bulan akan mula keluar dari kawasan sempadan bayang-bayang penumbra pada jam 4.53 pagi.

screen-shot-2016-09-13-at-11-07-34-am
KIraan rasmi Gerhana Bulan Penumbra 17 Sep 2016 (waktu Malaysia). Sumber Fred Espanak.

Kenampakan

 

Sejauh mana kita akan nampak perbezaan cahaya ketika Bulan berada dalam kawasan penumbra?

Menurut rekod pemerhatian peminat astronomi sebelum ini, dengan mata kasar adalah hampir mustahil untuk dapat melihat sebarang perubahan atau kesan bayang-bayang penumbra pada permukaan Bulan.

Namun, jika anda merakamnya menerusi kamera, dan melakukan post-procesing yang agak ekstrem, sedikit perbezaaan warna di salah satu sudut bulan mungkin boleh dilihat.

Foto di bawah di rakam oleh pegawai Agensi Angkasa Negara, En. Mohd Redzuan Tahar, ketika fenomena Gerhana Bulan Penumbra pada bulan November 2012 yang lalu.

screen-shot-2016-09-13-at-11-38-44-am

Perlu faham di sini, kesan gelap ketika gerhana jenis ini amat-amat sukar dilihat dengan mata kasar. Selain itu, jika sesorang itu jarang melihat bulan purnama, atau baru kali pertama mahu merakamnya, selalunya dia akan mudah terkeliru dengan kesan-kesan seperti lintasan awan, halangan fizikal seperti pokok, tepi bangunan dan seumpamanya.

Perlu dapat justifikasi daripada mereka yang ahli dalam bidang astrofotografi untuk mengesahkan foto yang dirakam.

Jangan main terus viral je!

Jika anda bersungguh-sungguh mahu merakamkan kawasan yang kelihatan gelap, tumpukan ke kawasan sisi Bulan yang mengadap ke arah Utara.

Rajah di bawah menunjukkan kedudukan Bulan yang dilihat dengan mata pada waktu puncak 2.55 am. Ketika itu Bulan berada di sebelah barat.

screen-shot-2016-09-13-at-2-18-38-pm
Simulasi Sky Safari 5 Pro

Perlukah solat gerhana?

 

Artikel dari risalah yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor, yang merujuk kepada fenomena yang sama yang berlaku pada 23 Mac 2016 lepas, para ulama telah sepakat meletakkan syarat bahawa solat gerhana hanya akan dilaksanakan ketika jelas kesan gelap di bulan.

Oleh itu, walaupun dari segi teknikal dan kiraan falaknya, gerhana sedang berlaku, tetapi daripada segi syarat perlaksanaan solat gerhananya, ia tidak diharuskan. Ini disebabkan Bulan hanya berada dalam kawasan bayang-bayang pudar penumbra sahaja dan kesannya hampir mustahil dilihat dengan mata kasar.

Maklumat lanjut mengenai hukum solat gerhana bulan dalam kes gerhana penumbra kali ini, saya mohon anda rujuk terus kepada bahagian Falak jabatan mufti negeri masing-masing.

Wallahua’lam


Rujukan

[1] Penumbral Lunar Eclipse of 2016 Sep 16. Fred Espanak. http://eclipse.gsfc.nasa.gov/LEplot/LEplot2001/LE2016Sep16N.pdf

[2] Fenomena Gerhana Bulan Penumbra, Jabatan Mufti Selangor http://www.muftiselangor.gov.my/images/pdf/solat/FENOMENA%20GERHANA%20BULAN%20PENUMBRA.pdf

[3]What is a penumbral lunar eclipse? Deborah Byrd, Space.com http://earthsky.org/space/what-is-a-penumbral-eclipse-of-the-moon

0 0 votes
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments