Lagi kisah mengenai Supermoon malam nanti

Fenomena

Supermoon bukan istilah dari ilmu astronomi. Ia diperkenalkan oleh seorang ahli nujum/astrologi bernama Richard Nolle. Saya pengkaji astronomi dan tidak mahu dikaitkan dengan pseudoscience hocus pocus seperti astrologi.

Ok, lapang dada aku lepas buat disclaimer tu..serabut nanang…

Walaubagaimanapun istilah ‘supermoon‘ ini sudah menjadi begitu popular di kalangan masyarakat sekarang dan telah pun digunakan di dalam banyak artikel sains di laman web lain. Ia secara tidak langsung menggalakkan orang awam memandang ke langit memerhatikan bulan penuh…Maka, kita layan je la..

Bulan Penuh malam Nisfu Syaaban lepas. @shahgazer

Apakah sebenarnya supermoon?

Secara amnya, supermoon merujuk kepada BULAN PENUH YANG KELIHATAN LEBIH BESAR berbanding bulan-bulan penuh yang lain, disebabkan ia berada LEBIH DEKAT dengan Bumi ketika itu.

Orbit Bulan yang berbentuk elips dan tidak sempurna bulat, menyebabkan ada ketika di dalam orbitnya, ia lebih dekat dan pada waktu yang lain, ia berada lebih jauh.

Bentuk orbit Bulan yang menunjukkan poin paling hampir dan paling jauh. Sumber.

Namun apabila kita tinjau di sana-sini, terdapat banyak variasi definisi supermoon yang telah digunakan.

  1. Supermoon ialah Bulan Penuh atau Bulan Baru yang berlaku hampir sama waktu ketika Bulan berada pada kedudukan Perigee (iaitu titik orbit Bulan di mana ia berada paling hampir dengan Bumi).
  2. Supermoon berlaku pada MOMEN Bulan berada PALING HAMPIR dengan Bumi di dalam satu-satu tahun masihi.
  3. Supermoon berlaku apabila Bulan Penuh atau Bulan Baru berada di dalam lingkungan 90% daripada jarak ia berada paling hampir dengan Bumi. Ini kata ahli nujum tadi.
  4. Supermoon berlaku apabila Bulan Penuh Perigee berlaku di dalam lingkungan 90% daripada jarak terdekatnya dengan Bumi di dalam orbitnya. Ini ahli astronomi Fred Espenak kata.
  5. Supermoon berlaku apabila Bulan Penuh berlaku apabila Bulan berada di dalam lingkungan 360,000 km dari Bumi. Ini TimeandDate yang kata…
  6. Supermoon berlaku apabila Bulan Penuh berlaku apabila Bulan berada di dalam lingkungan 358,884 km dari Bumi. Ini Sky & Telescope yang kata…

Di dalam astronomi, kejadian ini lebih tepat dipanggil sebagai perigee-syzygy, di mana perigee menujuk kepada poin paling dekat di dalam orbitnya, dan syzygy bermaksud apabila Matahari, Bumi dan Bulan sejajar di dalam satu garisan (berlaku apabila Bulan Penuh dan Bulan Baru)

Istilah lain kalau susah nak sebut syzygy tu ialah, Bulan Penuh Perigee.

Istilah supermoon sekarang ini pun hanya merujuk kepada Bulan Penuh dan tidak ramai yang mengaitkan ia dengan Bulan Baru.

Mungkin sebab Bulan Penuh lebih menarik dan senang nak tengok kot!

Bagi mempermudahkan perbincangan, saya akan mengambil definisi yang dibuat oleh ahli astronomer Fred Espenak di atas. Merujuk kepada jadual yang disediakan oleh beliau, pada tahun 2021 ini, Bulan Penuh Perigee berlaku pada 28 Mac, 27 April, 26 Mei dan 24 Jun.

Screenshot dari laman web Fred Espenak. Sumber.

Dari jadual di atas, di antara keempat-empat tarikh yang berlaku tahun ini, kejadian pada 26 Mei 2021 merupakan supermoon PALING BESAR DAN PALING DEKAT .

Kebetulan pula pada tarikh itu, berlaku Gerhana Bulan Penuh yang boleh dilihat dari Malaysia. Bab ni kita sembang lain..

Kejadian supermoon malam ini, 27 April 2021 merupakan KEDUA TERBESAR untuk tahun ini.

Adakah Bulan akan kelihatan besar?

Secara amnya, Bulan Penuh Perigee akan kelihatan 7% lebih besar berbanding Bulan Penuh yang biasa-biasa. Kalau kita bandingkan dengan Bulan ketika ia berada PALING JAUH dari Bumi, atau dikenali sebagai Apogee (lawan kepada Perigee), Bulan Penuh Perigee akan kelihatan 14% lebih besar!

Namun….

Betul ke kita akan dapat membandingkan saiz Bulan itu dengan bulan-bulan penuh yang lain?

Mungkin agak sukar untuk kita ‘cuba ingat’ Bulan Penuh ‘bulan lepas’ dengan apa yang dilihat nanti. Cara paling senang ialah merakam Bulan menggunakan kamera dan teleskop/telefoto lens, sambil mempastikan kita menggunakan ALAT DAN TETAPAN KAMERA YANG SAMA setiap Bulan. Kemudian bandingkannya menggunakan mana-mana perisian grafik.

Perbandingan saiz Bulan ketika Apogee dan Perigee boleh dibuat menggunakan kamera

Secara peribadi, saya nampak perbezaan paling menonjol ialah Bulan Penuh Perigee kelihatan jauh LEBIH TERANG berbanding biasa. Menurut kiraan, ia akan kelihatan 30% lebih terang berbanding Bulan Penuh Apogee.

Ilusi Bulan

Lagi satu yang saya suka sebut di sini ialah ilusi di mana Bulan kelihatan AMAT BESAR ketika ia sedang terbit atau masih rendah di ufuk timur. Ini merupakan ilusi optik sahaja dan saiz Bulan SAMA JE samada ketika ia sedang terbit dan juga ketika ia berada di atas kepala menjelang tengah malam.

Malah, ilusi ini tidak hanya berlaku ketika Bulan Penuh. Ia berlaku setiap kali Bulan berada rendah di ufuk, tak kisah la Bulan sabit ke, Bulan Sukuan Awal ke… semua akan kelihatan ‘besar’

Ingat ye..itu adalah Ilusi Bulan (Moon illusion)

Pink Moon? Worm Moon? Flower Moon? Apa benda tu?

Nama-nama Bulan Penuh yang sering diwar-warkan di internet sejak kebelakangan ini merujuk kepada gelaran yang diberikan oleh suku kaum asal Amerika, Algonquin, yang menetap di sekitar New England dan barat dari Lake Superior.

Suku kaum ini dikatakan mempunyai pengaruh besar ketika penjajahan dari negara-negara Eropah. Nama-nama yang digunakan oleh mereka berkait dengan kejadian yang berlaku pada Bulan Penuh dalam satu-satu bulan kalendar dan digunakan turun-temurun oleh penduduk Amerika sehingga ke hari ini.

Sebagai contoh, untuk bulan April ini, ia dikenali sebagai Pink Moon. Bukan kerana disebabkan warna Bulan berubah menjadi pink!! Ia merujuk kepada musim di mana bunga-bunga mula mekar dan tanah dipenuhi dengan rumput yang dikenali sebagai wild ground phlox.

Rumput wild ground phlox.

Bulan Penuh bulan Mei nanti pula dikenali sebagai The Flower Moon, merujuk kepada musim di mana bunga-bunga sudah lengkap memekar dan masa untuk menanam jagung.

Air jagung kaw yang dibuat daripada jagung 😉

Ringkasnya:

  • Januari – The Wolf Moon – Musim salji semakin banyak di tengah-tengah hutan dan bunyi laungan serigala semakin kerap didengar.
  • Februari – The Snow Moon – Musim salji semakin menebal
  • Mac – The Worm Moon – Salji semakin mencair, dan cacing tanah mula keluar.
  • April – The Pink Moon – Bunga mula memekar dan rumput berwarna merah jambu, wild ground phlox, semakin banyak tumbuh.
  • Mei – The Flower Moon – Bunga lengkap memekar dan jagung sudah boleh ditanam.
  • Jun – The Strawberry Moon – Musim kemuncak untuk memetik buah strawberry.
  • Julai – The Buck Moon – Rusa jantan mula tumbuh tanduk-tanduk yang diselaputi seperti baldu.
  • Ogos – The Sturgeon Moon – Musim paling senang untuk mengkap ikan Sturgeon di kawasan Great Lakes.
  • September – The Harvest Moon – Kebanyakan daripada makanan asas kaum asal Amerika, seperti jagung, nasi dan labu, sudah boleh dikumpulkan.
  • Oktober -The Hunter’s Moon – Musim rusa-rusa sudah bersedia untuk diburu!
  • November – The Beaver Moon – Musim berang-berang sibuk buat persediaan untuk musim sejuk. Ketika ini penduduk asal akan mula memasang perangkap untuk mendapatkan stok bulu berang-berang yang akan digunakan kemudian.
  • Disember – The Cold Moon – Musim sejuk bermula dan suhu jatuh mendadak.

Kesemua kejadian yang dikaitkan dengan Bulan Penuh ini merujuk kepada keadaan negara asalnya, iaitu di Amerika Utara. Anda boleh baca lanjut di sini.

Saya agak kurang minat untuk kita adopt istilah ini di dalam negara kita kerana tidak ada kena-mengena pun! Agree to disagree!

InsyaAllah malam ini, saya akan bersama hos DarkSkyMalaysia, akan cuba buat live streaming Bulan Penuh Perigee, jika cuaca mengizinkan.

Selamat mencerap

Wallahua’lam

0 0 votes
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments