Musim mencerap Zuhal sudah kembali! Jom!

Fenomena Istiqbal
Planet Zuhal merupakan objek yang paling cantik di langit. Foto oleh penulis pada tahun 2020. @shahgazer

Planet Zuhal akan berada paling dekat dengan Bumi pada 2 Ogos 2021 nanti. Bagi peminat astronomi dunia, inilah masa atau ‘musim’ paling sesuai untuk mencerap planet bergelang ini.

Pada hari tersebut, Zuhal akan berada bersetentang dengan Matahari. Satu fenomena yang dikenali sebagai istiqbal atau opposition. Di Bumi, kita akan dapat lihat planet ini terbit di timur sebaik sahaja waktu Maghrib (ketika Matahari terbenam).

Pada waktu opposition ini, kita berpeluang mencerap planet Zuhal sepanjang malam hinggalah ke waktu Subuh!

Rujuk Almanak Astronomi 2021 untuk fenomena-fenomena langit menarik.

Selain itu, jika kita perhatikan kedudukan planet Bumi dan Zuhal dari sudut ‘atas’ sistem suria ini, kita akan dapati Zuhal akan berada pada poin paling hampir dengan Bumi.

Kedudukan Zuhal, Bumi dan Matahari segaris pada 2 Ogos 2021 nanti. Saiz planet tidak ikut skala. Simulasi SkySafari 6 Pro.

‘Hampir’ itupun agak relatif! Jarak sebenar Bumi ke Zuhal pada ketika itu ialah sekitar 1,336,700,000 km! 

Billion km tu!!

Maka seperti biasa, saya harapkan janganlah ada di antara kita yang memviralkan fakta ini secara salah dan merapu-rapu hingga mengatakan planet ini akan berlanggar la, tanda akhir zaman lah dan lain-lain yang tiada kaitan.

Belajarlah sifat alam secara berfakta dan bukan main hentam saja..

Planet Zuhal mengorbit Matahari setiap 29 tahun. Bumi pula mengelilingi setiap 1 tahun sekali.

Andai kata Zuhal pegun dan tidak bergerak, fenomena opposition ini akan berlaku tepat setahun sekali. 

Walaubagaimanapun, Zuhal pun bergerak di dalam sepanjang satu tahun tu (walaupun amat perlahan berbanding Bumi). Oleh itu, untuk Bumi dan Zuhal kembali sejajar dengan Matahari, Bumi perlu bergerak ke hadapan sedikit untuk kembali ke posisi yang sama.

Kiraan falak menunjukkan, fenomena opposition ini berulang setiap 378 hari atau 1.035 tahun.

Kita boleh gambarnya pergerakan ini seperti jarum jam kita. Jarum ‘minit’ bergerak laju berbanding jarum ‘jam’. Apabila jarum ‘minit’ bergerak ke hadapan dengan pantas, jarum ‘jam’ pun bergerak tetapi agak perlahan. Untuk jarum ‘minit’ ini kembali bertingih dengan jarum ‘jam’, ia perlu berpusing lebih sedikit daripada satu pusingan lengkap 360 darjah tu.

Menerusi teleskop, Zuhal teramat cantik. Gelangnya senang dan jelas kelihatan walaupun kita menggunakan teleskop ‘mainan’ yang murah.

Malangnya, gelang Zuhal tidak dapat diihat menerusi Binokular. Alat ini tidak cukup power untuk melihatnya.

Jika kita berpeluang melihat planet ini menerusi teleskop yang besar, bukan sahaja kita dapat melihat gelangnya, malah gelang itu sendiri boleh dilihat berbelang-belang, di samping dapat juga sekali sekala melihat bulan-bulan Zuhal yang terang seperti bulan Titan.

‘Permukaan’ Zuhal tidaklah seperti Musytari (permukaan yang saya maksudkan di sini ialah lapisan awannya… Zuhal tak ada permukaan pejal macam Bumi). Jika Musytari penuh dengan bentuk-bentuk awan yang berlingkar-lingkar di seluruh ‘permukaannya’, Zuhal ni agak boring. Tidak banyak rupa bentuk awan unik yang dapat dilihat. Hanya belang-belang pudar sahaja yang kadangkala boleh kelihatan.

Menerusi kamera, ciri-ciri lain planet Zuhal ini mula terserlah dan jelas kelihatan.

Sebelum itu, kamera yang saya maksudnya di sini ialah kamera planetari seperti berjenama QHY atau ZWO. Jika anda menggunakan kamera DSLR, planet ini akan kelihatan lebih kurang sama dengan apa yang dilihat menerusi mata di dalam teleskop. Jika anda menggunakan kamera pada telefon bimbit, anda mungkin boleh zoom dekat dan boleh ‘nampak’ bentuk gelangnya, tetapi ia masih tidak seperti kamera planetari dan masih kurang sharp.

Menggunakan kamera planetari, gelang planet Zuhal ini akan kelihatan terbelah kepada beberapa bahagian. Paling jelas ialah gelang A (paling luar) dan gelang B. Garisan gelap yang membahagikan gelang A dan B ini dikenali sebagai Pembahagi Cassini (Cassini Division). Gelang C ialah paling dalam dan paling sukar untuk dilihat kerana ia halus dan agak gelap.

Foto oleh Michael A. Phillips dari Swift Creek, North Carolina

Seperkara yang menarik untuk kita perhatikan ialah sudut sengetnya gelang Zuhal untuk tahun 2021 ini berbeza dengan apa yang dilihat pada tahun 2020 lepas. Kali ini ia lebih ‘landai’ dan nampak seperti ‘kurus’ sedikit.

Sudut gelang planet Zuhal sedikit berbeza berbanding tahun lepas. Foto yang penulis rakam sendiri dari ShahGazer Observatory, Kuala Lumpur.

Ini disebabkan setiap tahun, kedudukan paksi Zuhal yang dilihat dari Bumi berbeza sedikit.

Sudut pandangan gelang Zuhal berbeza dari tahun ke tahun bergantung kepada kedudukan Bumi dan Zuhal di dalam orbit. Sumber.

Gelang planet Zuhal yang paling luas dan paling ‘curam’ atau paling ‘terbuka’ yang dapat dilihat dari Bumi ialah pada tahun 2017 lepas.

Keadaan gelang Zuhal paling terbuka luas pada tahun 2017 yang dirakam oleh penulis. @shahgazer

Selepas ini dari hari ke hari, gelang ini akan mula ‘menipis’ hinggalah tahun 2025, di mana ia kelihatan seperti satu garisan halus sahaja! Pada momen itu, dari Bumi kita melihat gelang Zuhal tepat dari sisinya.

Simulasi gelang Zuhal hampir ‘hilang’ apabila kita melihatnya daripada sudut ‘tepi’. Simulasi SkySafari 6 Pro.

Pusingan perubahan bentuk gelang Zuhal dari ‘nipis’ ke ‘terbuka’ berulang setiap 15 tahun.

Bulan paling besar di planet ini bernama Titan. Ia amat terang dan paling mudah dilihat menerusi teleskop, apatah lagi kalau kita rakam menerusi kamera.

Di langit kita, planet Zuhal akan kelihatan seperti sebutir ‘bintang’ yang agak cerah di ufuk sebelah timur sekitar waktu Isya’. Ia berada di dalam buruj Capricorn yang tidak mempunyai banyak bintang-bintang secerah Zuhal. 

Jika anda lakukan cerapan lewat sikit, katalah sekitar 2 jam selepas Isya’, ada sebuah lagi planet yang jauh lebih terang, iaitu Musytari akan mula terbit. Ketika ini, ada boleh menggunakan Musytari sebagai panduan untuk menjejaki planet Zuhal. 

Planet Zuhal lebih mudah dijejaki kedudukannya dengan berpandukan planet Musytari yang jauh lebih terang. Simulasi ini menunjukkan waktu sekitar 1-2 jam selepas Isya’.

Fenomena opposition ini berlaku setiap tahun dan telah berulang saban tahun sejak wujudnya sistem suria ini. Ia adalah momen yang menarik untuk diamati tetapi ia bukanlah sesuatu yang amat penting hinggakan kita KENA PERGI TENGOK pada tarikh tersebut!

Jangan bayangkan pulak, planet Zuhal ini hanya muncul pada 2 Ogos nanti! Salah tu! 

Zuhal sekarang pun sudah boleh dilihat selepas waktu Isya’ dengan jelas. Malah, ia boleh dilihat hampir sepanjang tahun. Andai kata anda terlepas nak tengok pada 2 Ogos nanti, ia masih boleh dilihat esok lusa dan berbulan-bulan selepas itu!

Jangan risau dan gelabah tak tentu arah! 😉

Satu lagi perkara yang saya pernah lihat di dalam ruangan komen media sosial sebelum ini ialah, apabila fenomena ini berlaku, graviti Zuhal akan memberi kesan kepada Bumi d bla bla bla…. itu semua salah. Graviti Zuhal amat kecil dan tiada kesan langsung kepada kita di Bumi. Maka, tak perlukan buat anggapan yang pelik-pelik dan memviralkan cerita sensasi sana-sini.

Letih pakcik nak melayannya…

Planet Zuhal merupakan di antara objek yang paling cantik dan boleh memberi impak yang besar terhadap seseorang. Ramai yang boleh ‘terjebak’ ke dalam astronomi apabila dia melihat planet ini kali pertama menerusi teleskop. 

Di dalam musim pandemik ini, agak malang kita tidak dapat melihat bersama-sama planet ini menerusi aktiviti cerapan awam. Namun begitu, InsyaAllah jika cuaca mengizinkan, saya akan cuba menyiarkan secara live planet Zuhal ini menerusi channel Youtube saya menerusi segmen LiveSGO dan juga di Facebook saya dari semasa ke semasa.

Selamat mencerap.

3 5 votes
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments