Tianwen-1 pula selamat masuk ke dalam orbit Marikh!

Berita Misi Angkasa

Sehari selepas kejayaan misi dari UAE, kini negara China pula mengambil giliran. Semalam sekitar jam 9 malam waktu Malaysia, prob Tianwen-1 telah menghantar isyarat kembali ke Bumi, seterusnya menunjukkan ia telah berjaya memasuki ke dalam orbit planet Marikh.

Kejayaan China ini menjadikan ia negara ke-6 dunia yang berjaya menghantar prob ke planet Marikh, selepas Amerika Syarikat, Soviet Union, European Space Agency, India dan UAE.

Usaha China untuk meneroka planet merah ini sebenarnya telah bermula lebih awal iaitu pada November tahun 2011, dengan misi bernama Yinghuo-1. Malangnya roket yang membawa prob ini (bersama-sama dengan misi dari Rusia dan dari Planetary Society) telah terhempas ketika dilancarkan.

https://twitter.com/ivan8848/status/1359685694550081536?s=20

Misi Tianwen-1 ini merupakan langkah seterusnya, malah jauh lebih hebat kerana misi ini secara keseluruhannya dimiliki dan dibangunkan oleh China National Space Administration.

Dilancarkan pada 23 Julai 2020, Tianwen-1 bukan sahaja akan mencerap Marikh dari orbit, ia juga mempunyai sebuah perayau yang akan diturunkan ke permukaan planet ini pada Mei nanti.

Prob Tianwen-1

Jika perayau ini berjaya mendarat dengan selamat, negara China akan menjadi negara ke-2, selepas Amerika Syarikat, yang akan beroperasi dan melakukan kajian di atas permukaan planet Marikh.

Perayau ini akan menggunakan konsep atau kaedah yang sama seperti mana misi Chang’e 3 dan Chang’e 4 yang telah dan sedang beroperasi di Bulan.

Tempoh operasi Tianwen-1 adalah selama sekurang-kurangnya 1 tahun Marikh, bersamaan 687 hari di Bumi. Perayau itu pula akan beroperasi selama 90 hari Marikh, atau bersamaan 93 hari di Bumi.

Bawa balik tanah

Misi Tianwen-1 ini merupakan langkah pertama dalam perancangan negara tersebut untuk membawa sampel tanah Marikh kembali ke Bumi menjelang tahun 2030. NASA juga, menerusi misi Perseverance nanti akan mula mengorak langkah yang sama dan dijangka seawal tahun 2031 akan dapat juga membawa sampel Marikh ini ke makmal di Bumi.

Kita belum pernah berjaya membawa sebarang sampel ‘dunia’ lain (melainkan asteroid) sebelum ini. Walaupun dengan menghantar prob dan robot di permukaan Marikh, kajian untuk mencari samada planet ini pernah ada ada kehidupan dari jarak jauh adalah amat terhad dan sukar. Kita perlu membawa sampel-sampel ini kembali ke Bumi, barulah kajian lebih menyeluruh dapat dibuat.

6 negara

Kehadiran 6 buah negara di planet Marikh hari ini dapat membuka peluang lebih luas dalam penerokaan dan kajian. Lebih banyak data dapat diperolehi dan lebih banyak ‘mata’ akan memerhatikan penemuan di antara satu sama lain. Check and balance.

Apabila Elon Musk menyatakan SpaceX akan berjaya mendaratkan manusia ke planet Marikh menjelang 2026 nanti, saya masih lagi ragu-ragu. Ini adalah kerana masih banyak faktor kena ambil kira dan masih banyak belum diketahui mengenai keadaan di sana.

Apa pun kita tunggu dan lihat. Jangan asyik complain dan terus belajar.

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments